Permulaan karier Syura_(penyanyi)

Selepas memendam hasrat hampir empat tahun untuk bergelar penyanyi, akhirnya niat Syura termakbul apabila dilamar Fantasia Music City (FMC) untuk bernaung di bawah bumbung mereka. Syura yang berasal dari Kempas, Johor Bahru menjadi penyanyi wanita kedua di bawah payung FMC selepas Siti Nordiana.

Meskipun sudah bergelar penyanyi namun Syura masih memendam rasa terkilan apabila bapanya, Badron Sakimin tidak mampu melihat kelibatnya beraksi di persada dunia hiburan. Ini kerana bapanya sudah pergi buat selama-lamanya pada November 1999 sedangkan dia adalah di antara pendorong utama Syura bergiat dalam persada seni selain ibunya dan keluarga.

Syura mula berminat menyanyi ketika berusia 10 tahun apabila banyak menyertai pertandingan nyanyian. Malah, dia kerap mengondol hadiah utama sehingga pernah penganjur pertandingan enggan menerima penyertaannya berikutan kejayaan yang sering dikecapinya. Ketika berusia hanya 14 tahun, Syura pada mula tidak menyangka diterima menjadi artis di bawah FMC apabila diperkenalkan komposer terkenal yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu, Jari yang melihat persembahannya. Lebih mengejutkan, Syura dipilih tanpa diuji bakat seperti yang dilakukan kebanyakan penyanyi sebelum ini.

Syura yang pernah bergelar juara sebanyak lima kali dalam Pertandingan Nyanyian Lagu Asli anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Johor ternyata gembira apabila album sulungnya yang berkonsepkan pop komersil, balada dan Irama Malaysia berjudul Aroma itu siap sepenuhnya Jun 2000 dan berada di pasaran sejak 1 September 2000. Menurutnya, walaupun sudah bergelar penyanyi namun ia bukan tiket untuk mengenepikan pelajaran yang dianggap penting sebagai aset pada masa hadapan. Katanya, dunia nyanyian adalah untuk memenuhi minatnya manakala pelajaran tetap menjadi keutamaan, malah jika ada sebarang tawaran pertunjukan ia akan diterima pada hujung minggu sahaja.